Monday, March 21, 2011

MENGAPA BERSEDIH?


 Assalamualaikum teman-teman yang dirahmati Allah s.w.t sekalian. Semoga anda semua terus segar dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Alhamdulillah, rasa syukur saya panjatkan kepada Allah Maha Besar kerana masih bisa menghirup udara segar dan terus hidup di muka bumi Allah ini.

Teman-teman sekalian, Allah benar janjiNya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang itu tidak bermakna kita binasa dan yang pergi tidak bermakna kita telah hilang segala-galanya. Kalaulah kita ukur banyak mana yang Allah telah ambil, dibandingkan dengan banyak mana yang telah Allah beri pada kita sangatlah jauh bezanya. Firman Allah s.w.t :

"Dan dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menghitungnya. Sungguh manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)."
                                                                                          (Ibrahim :14;34)

Mata, telinga, mulut, tangan dan juga kaki. Harta yang melimpah ruah, serta pandang disekeliling kita, apa yang kurang? Tidak ada apa yang kurang. Segalanya mencukupi. Dan apabila musibah menimpa, sebenarnya Allah tarik sedikit sahaja dari kurniaNya. Jangan kita bersedih, ini kerana Allah sayang pada kita. Kadang-kadang musibah yang Allah beri ini merupakan satu titik baru untuk Allah beri yang lebih baik lagi masa akan datang. Tidak mustahil, insyaAllah. Berlapang dadalah Kepada Allah s.w.t, bahawa Allah menentukan segalanya. Firman Allah s.w.t:


"Jangan takut, jangan berdukacita" (Al-'Ankabut 29:33)


Teman-teman sekalian, kadang kita merasa dukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Sakit, masalah keluarga, masalah kereta, masalah jiran, masalah kerja, masalah duit dan macam-macam lagi jenis masalah yang meyebabkan hati dan juga jiwa kita tidak tenteram seterusnya juga tertekan.


Inilah kehidupan teman-teman. Penuh dengan perjuangan dalam kita mengatasi masalah. Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah, maka dia tidak layak untuk menggelar dirinya seorang yang hebat. Mungkin kita bijak didalam kelas, mungkin kita paling laju lari, akan tetapi bila Allah uji sahaja sedikit, jadi gelabah. Jadi buntu dan takut nak mengahadapinya. 


Teman-teman sekalian, masalah yang kita lalui mematangkan jiwa, mematangkan akal serta mematangkan peribadi kita. Banyakkanlah bermunajat pada Allah dan tidak pernah tinggal akan segala perintahNya. Jangan oleh kerana kita rasa serabut dengan masalah, bersedih dengan masalah, sehinggakan kita tidak solat, lupa berzikir,dan lupa segala-galanya. Jawapannya TIDAK SAMA SEKALI!!!

Semoga kita semua mampu mengahadapi segala rintangan dengan hati yang tenang. Serahkanlah sebarang masalah kita kepada Allah. Dalam masa yang sama berusahalah mencari jalan penyelesaian. Sesungguhnya Allah membantu umatnya yang sabar. Wallahu'alam, setakat itu sahaja untuk kali ini. Maafkan saya sekiranya ada yang terkurang.

No comments:

Post a Comment

Perlu pandangan dari anda semua

Followers