Sunday, May 22, 2011

PERLU BERUBAH DAN BAIKI


Ya Allah…………..Bergetar jiwa ini menyebut namaMu. Terlalu banyak nikmat yang telah Engkau berikan pada kami semua. Rasa syukur padaMu Ya Allah.

Alhamdulillah, pada hari ini saya diberi sedikit kekuatan untuk menulis lagi. Dengan kekuatan ini lah akan saya pergunakan sebaiknya dalam memperbaiki diri dari masa kesemasa. Jangan sampai kita menjadi seperti pokok bunga yang tidak sihat dan layu. Bila tidak sihat, lama-kelamaan tuan bunga akan cabut buang dan ganti dengan bunga yang elok.

Begitulah teman-teman yang dirahmati Allah SWT sekalian, jangan sampai Allah menarik segala nikmat dan juga nyawa kita tanpa sebarang pembaikan atau usaha kembali ke Jalan Allah SWT. Peranan sebagai seorang muslim, telah pun jelas dalam surah Az-Dzariat ayat 56 yang bermaksud:

“Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan mereka beribadah @ mengabdi kepadaKu”

Begitu jelas pengertian hidup kita dimuka Bumi Allah SWT ini. Keberadaan kita bukanlah semata-mata mengejar harta sahaja, pangkat, 1st class student, pemain bola terhebat dan bermacam jenis lagi kebendaan yang kita kejar pada hari ini. Akan tetapi, matlamat pokok kita ialah beribadah teman-teman sekalian. BERIBADAH, BERIBADAH dan beribadah.

Subahanaullah, teringat akan kisah seorang rakan saya, yang mana beliau langsung tidak ada matlamat yang jelas didalam hidup beliau. Yang hanya adalah, matlamat berhibur, bermain, enjoy, lepak sana sini dan pelbagai jenis aktiviti lagi yang biasa berlaku dengan anak muda kita pada zaman ini. Almaklum sahaja lah, zaman serba serbi canggih pembangunan dan juga teknologinya. Namun, malang, malang dan terus malang remaja kita juga semakin advanced, dan lebih advanced daripada mesin.

Advanced bagaimana tu? Sudah tentu advanced dari segi keruntuhan akhlak dan moral remaja kita disana, sini, situ, tepi, belakang mahupun kiri dan kanan. Maafkan saya teman-teman sekiranya terlalu berkasar bahasa. Hakikatnya ini lah yang berlaku, anak muda kita sudah berani bermain denga racun yang paling merbahaya sekali di dunia ini. Racun apa kah itu? Sudah tentu DOSA dan Maksiat. (Nauzubillah’minzalikh)

Sambung semula kisah rakan saya tadi, so beliau telah terjerumus dengan pelbagai jenis penyakit hati, malahan beliau sudah biasa menelan mahupun bermain dengan 2 jenis racun yang saya sebut tadi. Apa yang menarik minat saya, dengan izin Allah SWT beliau berubah 90 darjah dan sekarang sudah 360 darjah menjadi seorang yang lebih baik dari sebelum ini. “Allahuakbar” sesungguhnya Allah masih lagi sayang beliau. Bila ditanya, apa rahsia boleh berubah ni? Dengan tenang beliau menjawab, bila dah banyak makan racun, saya sedar saya sudah semakin nazak, maka saya membuat keputusan untuk mencari penawar pada racun yang telah merebak didalam badan saya ini.

Penawar yang saya ambil ialah kembali pada Al-Quraan dan juga hadis Rasulullah saw. Tidak ada sudah formula yang lebih baik dan hebat selain 2 perkara ini. "Allahuakbar" begitu hebat kuasa Allah SWT. Dengan izinNya, rakan saya tadi telah menjadi jauh lebih baik berbanding dulu. Teman-teman sekalian, tidak ada satu perkara yang mustahil pun didunia ini sekiranya ia berlaku dengan izin Allah SWT. Tsunami, gempa bumi dan tanah runtuh, semua ini dengan izinNya. Walau berapa ramai saintis di dunia mengatakan punca berlaku tsunami disebabkan pergeseran tanah dan sebagainya, yakin dan percaya lah itu semua kuasa Allah.

Begitu lah teman-teman, setiap masa perlunya pada pembahuruan iman kita. Bagaiman caranya? Sudah tentu dengan menuntut ilmu. Ilmu pengetahuan sangat penting dalam kita memperbaiki diri. Allah SWT berfirman :

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki keburukan pada sesuatu kaum, tidak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia"
(Surah Ar-Rad Ayat 11)

Belajar memperbaiki diri adalah kunci bagi menjadi seorang muslim yang sejati. Insyaallah, mudah-mudahan kita semua mampu memperbaiki diri dan tidak pernah berhenti sampai lah kita kembali pada Allah SWT. Wallahu'alam, itu sahaja daripada saya buat teman-teman. Mudah-mudahan boleh jadi peringatan buat diri saya sendiri khususnya dan juga teman-teman semua. Yang mana kurang, mohon ditambah. Wassalam..

No comments:

Post a Comment

Perlu pandangan dari anda semua

Followers